ALISTAIR mewakili JDT menerima anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab pada malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malam tadi. FOTO  Aziah Azmee
ALISTAIR mewakili JDT menerima anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab pada malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malam tadi. FOTO Aziah Azmee
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) sedia menjadi inspirasi buat kelab-kelab dalam saingan Liga Malaysia selepas dinobatkan pemenang Anugerah Ikon Sukan Persatuan/Kelab dalam Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, kejayaan menggondol anugerah itu nyata membuktikan revolusi yang di bawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah membuahkan hasil.

"Ini adalah hasil kerjasama berpasukan semua pihak diketuai Tunku Mahkota Johor sejak 10 tahun lalu, di mana kini kami diberi pengiktirafan sebagai organisasi atau kelab terbaik dalam negara, dan ia sungguh istimewa.

"Kejuaraan liga adalah keutamaan kami selain saingan ACL (Liga Juara-Juara Asia) yang menjadi fokus kelab untuk melangkah sejauh mungkin.

"Malah kami mahu menjadi inspirasi buat kelab lain memajukan pasukan masing-masing sekali gus meningkat lagi kualiti Liga Malaysia di mata dunia.

"Paling utama kami mahu meletakkan Malaysia di peta dunia dengan melahirkan pemain-pemain tempatan terbaik," katanya ketika ditemui pada majlis gilang gemilang itu.

Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu menerima undian tertinggi bagi menewaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Hasil kemenangan itu, pemennag membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai sejumlah RM5,000 beserta langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 6:03 PM