POTTER meraikan kejayaan Chelsea mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu. FOTO Reuters
POTTER meraikan kejayaan Chelsea mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu. FOTO Reuters
AFP

London: Graham Potter berkata, kemenangan Chelsea ke atas Borussia Dortmund di pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) meredakan tekanan ke atasnya susulan siri keputusan mengecewakan sebelum itu.

The Blues menang 2-0 di Stamford Bridge, Selasa lalu untuk mengatasi defisit 1-0 pada perlawanan pertama dan mara ke suku akhir kejohanan Eropah itu.

Kemenangan ke atas pasukan Bundesliga itu hadir selepas Chelsea menewaskan Leeds dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus memberikan kemenangan berturut-turut pertama sejak Oktober.

"Adakah tekanan semakin reda? Ya, dalam beberapa perkara. Saya tidak mahu terbawa-bawa, ia hanya dua kemenangan, jadi kami perlu fokus kepada Leicester.

"Pemain dalam keadaan baik, semangat tinggi dan mereka tetap bersatu ketika saat sukar, jadi ia satu perkara yang baik, banyak boleh diperkatakan mengenainya," kata Potter.

Chelsea hanya menang dua kali dalam 10 perlawanan terakhir EPL dan kini menduduki tangga ke-10 liga iaitu 11 mata di belakang kelompok empat teratas.

Chelsea akan berdepan Leicester di Stadium King Power, malam ini bagi membuktikan mereka sudah menemui rentak untuk meneruskan baki 13 perlawanan liga musim ini.

Chelsea masih memburu kemenangan pertama EPL di tempat lawan sejak lima bulan lalu, manakala Leicester pula tewas dalam tiga perlawanan terakhir liga.

Bagaimanapun, menurut Potter, persembahan anak buah Brendan Rodger di atas padang tidak seburuk keputusan yang dicatat mereka.

"Mereka masih mempunyai pemain sangat bagus. Saya amat menghormati Brendan, atas apa yang dilakukannya di sana.

"Dia pengendali yang hebat, jadi saya tidak sabar untuk berjumpanya dan ia akan menjadi perlawanan sengit," katanya.

Chelsea bergelut di bahagian serangan, tetapi berkongsi rekod pertahanan kedua terbaik EPL.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 9:32 AM