SYAMER pada sesi latihan. FOTO Johor Southern Tigers
SYAMER pada sesi latihan. FOTO Johor Southern Tigers
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penantian ibarat satu penyeksaan buat pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Syamer Kutty Abba selepas lapan bulan bergelut dengan kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Bagaimanapun, pemain kelahiran Pulau Pinang itu akhirnya kembali ceria dan bersemangat selepas membuat penampilan semula pada aksi Liga Super, kelmarin.

Syamer bukan sahaja dapat beraksi malah turut membantu Harimau Selatan berjaya menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 3-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Dia dimasukkan selaku pemain gantian pada pertengahan babak kedua dan berjaya membantu barisan tengah JDT menangani kebangkitan yang cuba dijelmakan tuan rumah.

Dia yang terpaksa menjalani pembedahan lutut, tampil mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pasukan perubatan yang banyak membantunya untuk pulih 100 peratus dari kecederaan ACL.

"Syukur saya dapat bermain balik hari ini (kelmarin) dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada kelab JDT yang memberikan rawatan perubatan terbaik.

"Terima kasih tidak terhingga kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang banyak memberikan sokongan moral kepada saya sepanjang masa.

"Pulih kecederaan ACL ini bukan satu perkara yang mudah dan saya gembira dapat beraksi dengan baik walaupun ada kekok pada mulanya namun melalui sokongan jurulatih serta rakan sepasukan, semuanya berjalan lancar," katanya.

JDT berjaya menumbangkan KL City di gelanggang lawan hasil jaringan sendiri Romel Morales pada minit ke-41, Endrick Dos Santos (minit 52) dan Arif Aiman Hanapi (minit 90).

Kemenangan kali kedua berturut-turut itu meletakkan skuad kendalian Esteban Solari berada di tangga ketiga, berkongsi enam mata bersama pendahulu Sabah, Selangor (tangga kedua) dan Kedah Darul Aman (keempat).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 4:15 PM