PEMAINAN lato-lato yang semakin popular. Gambar hiasan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
PEMAINAN lato-lato yang semakin popular. Gambar hiasan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan FC menjadi pasukan pertama Liga Malaysia (Liga M) yang mengharamkan permainan lato-lato dibawa masuk ke stadium ketika perlawanan berlangsung.

Arahan itu dikeluarkan pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman di laman Facebook miliknya hari ini.

Larangan itu dibuatnya beberapa jam sebelum aksi sulung Liga Super babitkan pasukannya yang menanti kunjungan Kuching City FC di Stadium Sultan Muhammad IV petang ini.

"Lato-Lato diharamkan masuk stadium untuk perlawanan petang ini," tulis Norizam atau lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham.

Keputusan itu nyata mendapat reaksi positif peminat bola sepak TRW yang menganggap permainan itu boleh mengganggu persekitaran dengan bunyi bising di stadium.

Selain pencemaran bunyi daripada permainan itu, ia juga dianggap berbahaya dan mampu mencederakan orang lain yang berada di sekeliling stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 6:09 PM