CHENG Hoe ketika ditemui media selepas perlawananan Piala Harapan 2023 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini. FOTO DANIAL SAAD
CHENG Hoe ketika ditemui media selepas perlawananan Piala Harapan 2023 di Stadium Negeri Batu Kawan di sini. FOTO DANIAL SAAD
Siti Aminah Mohd Yusof


Batu Kawan: Selangor FC melihat situasi kekalahan menentang Penang (PFC) dalam kejohanan Piala Harapan 2023 daripada sudut positif sekali gus menjadikannya sebagai medan membina keserasian dan kombinasi posisi pemain yang disifatkan masih berada pada peringkat awal.

Ketua Jurulatihnya, Tan Cheng Hoe, berpandangan anak buahnya tidak berada pada tahap terbaik apatah lagi mereka boleh dikatakan bermain dalam keadaan keletihan selepas menyingkirkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di pentas perlawanan persahabatan kompetitif itu, Jumaat lalu.

"Separuh masa pertama kita bermain begitu bagus, babak kedua kita agak hilang tumpuan akibat itu kita dibolosi gol yang agak mudah, sedikit sebanyak kemungkinan besar pemain agak keletihan kerana kita cuma berehat sehari berbanding PFC ada dua hari rehat.

"Kita juga tahu sesi latihan baru bermula dengan kita baru dapat mengumpulkan skuad lebih kurang dalam 10 hari jadi bukan satu tahap yang terbaik," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Negeri Batu Kawan, malam tadi.

Kejohanan Piala Harapan 2023 dengan format kalah mati bermula Khamis lalu itu mengumpulkan empat pasukan iaitu PFC selaku penganjur, Selangor FC, KDA FC serta kelab dari Singapura, Geylang International FC.

Cheng Ho ketika mengulas mengenai persembahan barisan pemain kebangsaan antaranya terdiri daripada Faisal Halim, R Ruventhiran, Khuzaimie Piee berkata mereka masih perlu mencari keserasian untuk menyesuaikan diri dalam corak permainan pasukan.

"Memang kita tidak menjangka keputusan itu tetapi inilah bola sepak, kita perlu terima serta melihatnya secara keseluruhan dengan dua perlawanan terakhir ini kita nampak lebih banyak positif berbanding negatif dan kita memberi peluang kepada semua untuk bermain," katanya.

Bekas Ketua Jurulatih Harimau Malaya itu mengakui ia bukan perkara mudah namun mereka perlu beradaptasi secepat mungkin iaitu berbaki kira-kira 20 hari menjelang saingan Liga Super musim 2023 dan beliau dan barisan kejurulatihan sendiri akan terus bekerja keras untuk memastikan pasukan berada di landasan terbaik.

Mengulas mengenai prestasi pemain import beliau menyatakan rasa berpuas hati dapat mengumpulkan kesemua mereka dalam satu pasukan namun tidak menolak hakikat bahawa mereka turut memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pemain tempatan dan cuaca di negara ini.

"Adalah baik pemain kalah malam ini, sekurang-kurangnya mereka tahu kesilapan masing-masing iya, mereka juga agak kecewa jadi kita akan berusaha mendapatkan ramuan terbaik untuk kita mula mendapatkan kesebelasan utama.

"Kita masih menilai setiap individu sama ada mereka sesuai di posisi terbaik untuk perlawanan akan datang pada masa yang sama kita akan melihat hasil persiapan di Bangkok nanti dalam membentuk satu pasukan yang mantap," ujarnya.

Gergasi Merah dijadualkan terbang ke Bangkok, Thailand dalam siri jelajah pramusim bermula hari ini hingga 10 Februari dalam aksi perlawanan persahabatan menentang Ratchaburi FC dan PT Prachuap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 11:53 AM