WILSON (kanan) cuba bersaing dengan pemain West Ham. FOTO
WILSON (kanan) cuba bersaing dengan pemain West Ham. FOTO
Reuters

Newcastle: Newcastle United gagal memanfaatkan permulaan cemerlang selepas mereka hanya seri 1-1 di laman sendiri menentang West Ham United yang meletakkan mereka di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).

Callum Wilson berusaha keras untuk meletakkan pasukan bimbingan Eddie Howe di depan pada minit ketiga selepas jaringan Joe Willock dibatalkan.

Bagaimanapun, West Ham berjaya bangkit semula dan berhak mendapat gol penyamaan selepas setengah jam perlawanan berlangsung apabila Lucas Paqueta melepaskan rembatan rendah sekali gus menyebabkan Newcastle bolos buat kali pertama sejak November.

Ketika Newcastle memilik rekod bertahan paling baik di EPL dengan hanya bolos 12 gol mereka sekarang ini hanya menjaringkan dua gol daripada lima perlawanan terakhir.

"Ia hari yang mengecewakan," kata Wilson, yang terlepas peluang meledak gol kedua apabila ia diselamatkan Nayef Aguerd.

"Saya rasa kami berhenti melakukan perkara yang memberikan kejayaan, banyak hantaran lemah di setiap sudut padang.

"Kami berjaya memberikan kegembiraan buat penyokong namun ia terputus."

Sekarang mereka meraih 40 mata daripada 21 perlawanan, dua mata di belakang Manchester United yang menumpaskan Crystal Palace sebelum itu.

West Ham sekarang ini mengumpul 19 mata daripada 21 perlawanan, satu mata di atas zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 10:58 AM