FAISAL antara pemain baharu Selangor yang diturunkan. FOTO Selangor FC
FAISAL antara pemain baharu Selangor yang diturunkan. FOTO Selangor FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe enggan memberi tekanan buat beberapa pemain baharu termasuk trio skuad Harimau Malaya serta penyerang import, Ayron Del Valle.

Tiga pemain kebangsaan yang dimasukkan adalah Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan V Ruventhiran serta Ayron masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan pasukan.

"Mereka masih lagi sedang menyesuaikan diri dan mencari keserasian dengan pasukan walaupun mereka sebahagian daripada pemain kebangsaan.

"Apabila mereka datang ke Selangor sudah pasti terdapat perbezaan dari segi corak permainan, tapi saya yakin mereka mampu memberi sesuatu kepada pasukan," katanya selepas aksi pertama Piala Harapan di Stadium Batu Kawan, di Pulau Pinang malam tadi.

Dalam perlawanan jemputan itu, Selangor FC berjaya mara ke pentas final selepas menang menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 ke atas Kedah Darul Aman FC, di mana kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam aksi sebenar.

Di pentas final malam esok, skuad Red Giants dijadual bertemu pasukan tuan rumah, Penang FC yang sebelum itu menundukkan kelab Singapura, Geylang International dengan 4-0.

Mengulas mengenai kemenangan ke atas Kedah itu, Cheng Hoe akui pemainnya masih belum mencapai tahap permainan diinginkan khususnya kecergasan.

"Kalau kita lihat dari segi tahap kecergasan, setiap pemain masih belum capai tahap yang kita nak.

"Oleh sebab itu saya bahagikan kepada dua pasukan dengan pasukan pertama beraksi di separuh masa kedua, dan memasukkan pasukan kedua pada separuh masa kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:49 PM