TIGA import Selangor yang bakal melaksanakan misi satu trofi. FOTO GENES GULITAH
TIGA import Selangor yang bakal melaksanakan misi satu trofi. FOTO GENES GULITAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Satu trofi bakal membuka laluan yang luas buat Selangor FC untuk ke Asia musim depan, dan itulah misi utama diletakkan di atas bahu skuad kendalian Tan Cheng Hoe musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, tiket ke Asia adalah sasaran wajib buat skuad Red Giants dengan kempen Piala AFC dilihat saingan paling realistik buat pasukan itu.

Lantas, bagi memastikan ia dapat direalisasikan, satu trofi harus di bawa pulang ke Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam musim ini, tidak kira sama ada Piala FA, Piala Malaysia atau Liga Super.

Untuk rekod, selain juara Piala FA dan Piala Malaysia akan meraih tiket ke Piala AFC, slot ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) turut jadi pertaruhan dengan ia akan diberikan kepada juara Liga Super.

"Saya percaya skuad musim ini boleh jadi lebih baik daripada musim depan, tetapi untuk hentikan dominasi JDT itu jauh lagi.

"Sasaran kami masih lagi untuk layak ke Asia, musim lalu tak berjaya jadi kami harap boleh realisasikan musim ini, tak kisahlah daripada slot liga, Piala FA atau Piala Malaysia," katanya.

Katanya lagi, pada musim ini Selangor dilihat agak berhati-hati memilih pemain import selepas beberapa pemain yang tidak menjadi sebelum ini.

"Ramai pemain yang sukar menyesuaikan diri sebelum ini sama ada dari segi cuaca, jenis rumput yang digunakan di Liga Malaysia dan lain-lain.

"Kami kini melihat banyak aspek sebelum membuat keputusan untuk menandatangani seseorang pemain, dan lebih gemar kepada pemain daripada Amerika Selatan dan Afrika disebabkan cuaca dan kualiti padang yang seakan-akan sama dengan Malaysia," katanya.

Ketika ini Selangor FC mengekalkan empat pemain import lama iaitu Yazan Al-Arab (Jordan), Hein Htet Aung (Myanmar) Alex Agyarkwa dan George Attram (Ghana).

Tiga pemain import yang dibawa masuk pula adalah pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Noor Al-Rawabdeh, Rauf Salifu (Ghana) dan terbaharu penyerang dari Colombia, Ayron Del Valle.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 3:10 PM