FADHLI (kiri) harap kejayaan lebih baik dicapai pada musim pertama bersama Sri Pahang. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
FADHLI (kiri) harap kejayaan lebih baik dicapai pada musim pertama bersama Sri Pahang. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pemain pertahanan berpengalaman, Fadhli Shas akan memastikan kehadirannya dalam Sri Pahang FC musim ini memberikan impak positif.

Impak itu bukan sahaja pada diri pemain berusia 32 tahun itu, malah skuad Tok Gajah dalam melakar kejayaan bermakna musim ini.

"Misi saya bukan sahaja membantu Sri Pahang beroleh sekurang-kurangnya satu piala tetapi ia lebih kepada memastikan saya berada pada prestasi terbaik.

"Saya harap kejayaan lebih baik dicapai pada musim pertama bersama Sri Pahang dengan dibantu rakan sepasukan.

"Setakat ini saya gembira kerana selepas lebih sebulan berlatih bersama, saya semakin selesa dan gembira dengan kerjasama rakan.

"Pada masa sama, saya bersyukur Sri Pahang dibarisi pemain berpengalaman termasuk import musim ini," katanya.

Ditanya kehadiran pemain berpengalaman dalam pasukan, Fadhli tidak berasa tertekan dengan situasi berkenaan.

Sebaliknya, katanya, kehadiran ramai pemain akan membantu meningkatkan lagi prestasi iaitu daripada segi persaingan.

"Bagi saya ia adalah saingan sihat di kalangan pemain sendiri untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Dengan persaingan ini ia akan membantu untuk meningkatkan lagi kualiti permainan demi pasukan Sri Pahang," katanya.

Mengulas aksi pramusim di Thailand baru-baru ini, Fadhli gembira dengan sesi latihan yang diadakan sepanjang berada di negara itu.

"Kunjungan ke Bangkok banyak membantu meningkatkan persefahaman antara rakan sepasukan.

"Ia petanda positif untuk memastikan Sri Pahang berada pada tahap terbaik apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 1:20 PM