TEONG Kim (kiri) menerima anugerah terbabit berdasarkan kepada jasanya yang memerah keringat terhadap pembangunan bola sepak tanah air. FOTO Ihsan RTM
TEONG Kim (kiri) menerima anugerah terbabit berdasarkan kepada jasanya yang memerah keringat terhadap pembangunan bola sepak tanah air. FOTO Ihsan RTM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Perak FC boleh dikatakan mendapat tonik bagi mengharungi saingan musim 2023 apabila ketua jurulatihnya Lim Teong Kim menerima anugerah Panglima Jasa Kuala Lumpur sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Pengurniaan anugerah terbabit yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu sekali gus memberi gelaran Datuk kepada jurulatih berusia 59 tahun itu.

Teong Kim menerima anugerah terbabit berdasarkan kepada jasanya yang memerah keringat terhadap pembangunan bola sepak tanah air.

Berdasarkan rekod, Sebaik sahaja menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak pada 1995, Teong Kim mula menggiatkan dirinya dalam bidang kejurulatihan menggunakan pengalaman yang berharganya.

Selepas mengendalikan kelab kerdil SV Puchheim, jurulatih ini dibawa masuk ke kelab gergasi Jerman, Bayern Munich untuk menyertai staf teknikal sebagai jurulatih pasukan remaja kelab itu.

Selepas 10 tahun berkelana di Jerman, Teong Kim pulang ke tanah air dan memegang jawatan sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang bertanggungjawab melahirkan pemain muda untuk negara.

Teong Kim kemudiannya dilantik mengendali Perak padam musim ini dalam usaha memberi nafas baharu buat juara lapan kali Piala Malaysia itu kembali ke era zaman kegemilangan.

Ketika karier permainannya, Teong Kim pernah beraksi buat pasukan kebangsaan sebanyak 60 kali ketika zaman kegemilangannya, iaitu pada 1982 hingga 1991.

Sepanjang tempoh itu, beliau bukan sahaja mampu melancarkan gerak geri serangan, namun dia juga berjaya menjaringkan 12 gol sepanjang 10 tahun kariernya dalam skuad kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 12:14 PM