RONALDO masih ada hubungan baik dengan beberapa pemain United. FOTO The Times
RONALDO masih ada hubungan baik dengan beberapa pemain United. FOTO The Times
Agensi

Riyadh: Cristiano Ronaldo menjemput beberapa rakannya di Manchester United untuk bercuti dan meraikan majlis perpisahan yang sebenar.

Ronaldo disingkirkan dari United ketika dia bersama Portugal di Piala Dunia, bermakna dia tidak pernah mendapat peluang mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan.

Justeru itu dia menjemput beberapa rakan baiknya dalam skuad untuk mencuba dan mengatur lawatan ke tanah airnya atau melawatnya di Arab Saudi.

Ronaldo meninggalkan United pada November selepas mengkritik kelab itu dalam temu bual dengan Piers Morgan.

Dia menandatangani perjanjian £170 juta (RM893.42 juta) setahun dengan pihak Saudi Al Nassr - perjanjian bola sepak termahal dunia.

Ronaldo, 37, kini mempunyai sebuah rumah mewah yang dibina di pinggir Lisbon dan menghantar mesej kepada beberapa rakannya di United untuk berkumpul pada musim panas ini.

Dia juga bertanya sama ada mereka berminat untuk menontonnya bermain untuk kelab baharunya di Timur Tengah jika jadual membenarkannya.

"Masih ada beberapa pemain di sini yang tetap menghormati Ronny dan sedih dengan cara ia berakhir kerana mereka tidak sempat mengucapkan selamat tinggal dengan betul.

"Dia baru saja meninggalkan kumpulan WhatsApp pemain-pemain tetapi berjanji akan terus berhubung dan ada beberapa orang yang dijemput ke rumah baharunya di Lisbon dan ke Saudi untuk melihatnya beraksi.

"Harry Maguire, Bruno Fernandes, Casemiro dan Raphael Varane adalah kawan baiknya," kata sumber rapat dengan United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 10:48 AM