BARISAN pemain Arsenal membuat benteng selepas Spurs dihadiahkan sepakan pecuma. -FOTO AFP
BARISAN pemain Arsenal membuat benteng selepas Spurs dihadiahkan sepakan pecuma. -FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta memuji 'keberanian' Arsenal ketika pendahulu Liga Perdana itu melakarkan kemenangan 2-0 ke atas musuh ketat, Tottenham sebelum penjaga gol mereka Aaron Ramsdale diserang penyokong selepas wisel penamat.

Pasukan Arteta dihadiahkan gol pendahuluan oleh penjaga gol Tottenham, Hugo Lloris yang menolak hantaran silang Bukayo Saka ke gawang sendiri pada awal babak pertama.

Martin Odegaard menambah gol kedua Arsenal menerusi rembatan jarak jauh sebelum rehat.

Ia adalah kemenangan berganda liga menewaskan Tottenham sejak 2013-14 yang menyaksikan mereka kini lapan mata mengatasi pasukan di tempat kedua, Manchester City.

Namun sambutan kemenangan mereka dicemari oleh tindakan buruk penyokong Spurs yang melompat memasuki padang dan cuba menendang Ramsdale selepas penjaga gol Arsenal itu bertelagah dengan Richarlison.

"Peminat Spurs melakukan sesuatu yang di luar jangkaan dan syukur tiada apa yang serius," kata Ramsdale.

Ditanya mengenai kejadian itu Arteta berkata: "Saya hanya mahu bercakap mengenai bola sepak dan permainan menarik yang kami pamerkan ini.

"Saya suka cara kami bermain dan keberanian yang kami tunjukkan. Semua yang kami minta, mereka bersedia untuk mencuba. Mereka adalah kumpulan pemain yang hebat.

"Saya rasa hari ini kami mengambil satu lagi langkah ke depan. Kami menang musim lalu di stadium yang besar tetapi cara kami menang hari ini sungguh menggembirakan," katanya.

Pengurus Tottenham Antonio Conte mengecam serangan peminat itu, berkata: "Jika ia berlaku, ia tidak bagus. Kami sentiasa perlu menunjukkan rasa hormat kepada lawan dan pemain. Saya tidak suka."

Ketika usaha Arsenal mengejar kejuaraan semakin menampakkan hasil, kunjungan mereka ke pasukan tangga kelima, Tottenham adalah ujian besar terhadap kemampuan mereka.

Mereka melakukannya dengan baik di gelanggang yang sentiasa memberikan kesukaran buat Gunners yang tewas semua tiga aksi di stadium baharu Tottenham sejak ia dibuka pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 7:56 AM