TRENT Alexander-Arnold (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Brighton Kaoru Mitoma (kanan). -FOTO EPA
TRENT Alexander-Arnold (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Brighton Kaoru Mitoma (kanan). -FOTO EPA
AFP

Brighton, United Kingdom: Jurgen Klopp melabelkan kekalahan teruk Liverpool 0-3 di Brighton semalam sebagai yang terburuk pernah dilihatnya ketika mengendalikan pasukan itu di Anfield.

Skuad bermasalah Klopp dihukum pada separuh masa kedua menerusi dua gol Solly March dan jaringan lewat Danny Welbeck.

Prestasi Liverpool yang semakin buruk itu muncul selepas kekalahan 1-3 di Brentford dan seri pada Piala FA menentang Wolves di mana mereka terselamat daripada kekalahan kerana keputusan VAR yang kontroversi.

Skuad Reds tergelincir di kedudukan kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan harapan mereka untuk kedudukan empat teratas semakin tertutup minggu ini.

Klopp tidak percaya apa yang dilihatnya apabila Brighton mendominasi pasukannya dengan cara yang tidak pernah dilihatnya sejak mengambil alih pada 2015.

"Teruk, sangat teruk. Saya tidak ingat perlawanan paling teruk. Ia adalah pasukan yang sangat teratur menentang pasukan yang tidak begitu teratur," kata Klopp.

"Kami sangat-sangat kecewa. Kami melepaskan bola, memberi ruang terlalu besar dan kami tidak boleh menyerang. Itu jelas tidak bagus terutama menentang pasukan yang sangat hebat seperti Brighton. Mereka semakin yakin dan kami pula sebaliknya."

Klopp berkata dia cuba menukar taktik Liverpool dalam usaha mengubah persembahan buruk mereka, tetapi merumuskan pemain tidak berjaya melakukannya dengan baik.

"Saya ada idea untuk menukar formasi untuk cuba membantu pasukan. Itulah ideanya. Tapi kami gagal melakukannya dengan betul," katanya.

"Kami perlu kreatif dengan pilihan yang kami ada. Apa yang saya lihat hari ini daripada pasukan saya ialah mereka langsung tidak meyakinkan. Itu sahaja."

Musim lalu Liverpool hanya perlukan dua kemenangan untuk melengkapkan empat kejuaraan ketika mereka merangkul Piala FA dan Piala Liga dan menyaksikan gelaran Liga Perdana ke Manchester City dan kemudian tewas final Liga Juara-Juara kepada Real Madrid.

Skuad dimiliki Klopp ketika ini adalah bayangan pasukan yang hampir meencipta sejarah itu dan dia mengakui, hilang kata-kata bagi menerangkan perbezaannya.

"Bagaimana anda mahu menerangkannya? Pemain yang sama bermain dengan hebat dalam perlawanan tetapi jika ia tidak disusun dengan bagus ia kelihatan seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 8:12 AM