REAKSI Rashford  selepas meledak gol ketiga United.
REAKSI Rashford selepas meledak gol ketiga United.
AFP

Manchester, United Kingdom: Marcus Rashford menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut ketika Manchester United menewaskan Bournemouth 3-0 dan mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan babak pertama pemain Brazil Casemiro dan dua gol lagi selepas rehat menerusi pemain England Luke Shaw dan Rashford membolehkan skuad Erik ten Hag meraih kemenangan kesembilan daripada 10 perlawanan dalam semua kejohanan.

United yang tewas dua aksi pertama EPL kini meraih 35 mata daripada 17 perlawanan, terikat dengan Newcastle di tangga ketiga dan lima mata di hadapan Tottenham yang menduduki tangga kelima.

"Saya gembira dengan keputusan ini," kata Ten Hag. "Hari ini bukanlah aksi terbaik kami. Kami perlu jujur, kami tidak beraksi bijak sebagai pasukan.

"Kami mencipta jaringan menarik tetapi ada ketikanya kami agak bertuah selain aksi mantap David (de Gea). Kami perlu lebih bijak sebagai satu pasukan."

Rashford kembali ke senarai kesebelasan di Old Trafford menentang Bournemouth yang kini hanya dua mata di atas zon penyingkiran.

Penyerang England itu berjaya memperolehi sepakan percuma untuk United selepas dia dikasari Adam Smith dan sepakan Christian Eriksen disudahkan dengan voli cantik Casemiro.

Memasuki babak kedua United sukar dibendung apabila menggandakan jaringan pada minit ke-49 menerusi Shaw yang tenang melepaskan rembatan dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran daripada pemain gantian Alejandro Garnacho dari sebelah kanan.

Bournemouth turut mengancam menerusi serangan balas pantas tetapi De Gea tangkas menyelamatkan gawangnya.

Rashford melengkapkan kemenangan bergaya United pada lewat perlawanan selepas mudah menolak bola masuk dari jarak dekat hantaran Bruno Fernandes yang juga jaringan keempatnya dalam empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 8:07 AM