GUARDIOLA (tengah) mahu kejayaan Piala Liga di Wembley Mac lalu berterusan sehingga ke Piala FA. FOTO AFP
GUARDIOLA (tengah) mahu kejayaan Piala Liga di Wembley Mac lalu berterusan sehingga ke Piala FA. FOTO AFP
AFP

PEP Guardiola memberi cabaran kepada pasukannya untuk memanjangkan rekod cemerlang di Wembley apabila penyandang juara Piala FA itu berdepan Arsenal dalam aksi separuh akhir awal pagi esok.

City berjaya memenangi Piala Liga tiga tahun berturut-turut dan berharap dapat mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi musim lalu selepas membelasah Watford dalam perlawanan akhir.

Dengan menikmati dua kejayaan Perisai Komuniti dan kejayaan separuh akhir Piala FA menentang Brighton di Wembley sejak Guardiola mengambil alih pada 2016, stadium nasional berkenaan menjadi medan memburu kejayaan buat pengendali dari Sepanyol itu.

Bukan saja itu, Guardiola juga memenangi Piala Eropah di stadium lama Wembley ketika dia beraksi bersama Barcelona pada 1992 dan kembali menjulang trofi Liga Juara-Juara di stadium yang diubahsuai itu ketika menjadi pengurus Barcelona 2011.

Pengurus City itu mengakui bahawa pemainnya tidak ada masalah untuk bermain di pentas besar tapi beliau menjadikan aksi separuh akhir 2017 ketika tumpas kepada Arsenal sebagai bukti bahawa anak buahnya tidak boleh mengambil mudah aksi esok.

"Ia menunjukkan bahawa pasukan suka bermain dan menikmati aksi final. Wembley adalah tempat yang luar biasa untuk bermain.

"Bagaimanapun, tidak ada aksi separuh akhir yang mudah dalam karier saya. Ia sentiasa sengit dan kami tumpas di separuh akhir ketika tahun pertama saya di sini," kata Guardiola.

Piala FA menjadi sangat penting buat City tahun ini selepas mereka kehilangan trofi liga yang dirampas Liverpool tahun ini.

Guardiola berkata, memastikan tempat ke Liga Juara-Juara adalah keutamaan mereka terutama selepas terlepas hukuman penggantungan.

Sekarang dalam saingan Piala FA Guardiola berharap City dapat mengulangi kejayaan mencatat kemenangan 3-0 ke atas Arsenal ketika aksi pertama mereka selepas EPL ditangguhkan akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 9:52 AM