Pertahanan England, Kyle Walker menjalani latihan di Stadium Al Wakrah SC. FOTO AFP
Pertahanan England, Kyle Walker menjalani latihan di Stadium Al Wakrah SC. FOTO AFP
AFP

Doha: Pemain pertahanan England, Kyle Walker berkata pasukannya tidak boleh terlalu fokus mengenai keupayaan bintang Perancis, Kylian Mbappe meledak gol menjelang pertembungan suku akhir mereka di Piala Dunia, awal pagi Ahad ini.

Walker yang beraksi di pertahanan kanan hampir pasti berdepan ancaman Mbappe, yang kini muncul penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan lima gol.

"Saya tahu dia pemain yang bagus tetapi kami bukan bermain tenis. Ia bukan sukan individu, ini adalah perlawanan berpasukan.

"Kami tahu dia pemain yang hebat dan disebabkan itu dia menjadi tumpuan dalam semua persoalan. Tetapi jangan lupa mengenai (Olivier) Giroud, yang tidak henti menjaringkan gol, (Ousmane) Dembele, bagi saya juga beraksi baik di bahagian sayap," kata pemain pertahanan Manchester City itu.

Walker sudah berdepan pengalaman menentang Mbappe untuk Manchester City pada Liga Juara-Juara dan berkata pengajarannya adalah tidak terlalu memberi tumpuan kepada pemain berusia 23 tahun itu.

"Ketika kami berdepan Paris Saint-Germain dalam Liga Juara-Juara, kami tidak hanya memikirkan mengenai Mbappe dan perkara sama akan berlaku pada pertembungan itu nanti.

"Memang benar dia menjadi senjata lengkap pasukan lawan dan sangat bagus tetapi anda tidak boleh memperkecilkan kemampuan pemain lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 11:09 PM