ABOUBAKAR (kiri) menyungkit bola melepasi penjaga gol Serbia untuk menjaringkan gol kedua Cameroon. FOTO Reuters
ABOUBAKAR (kiri) menyungkit bola melepasi penjaga gol Serbia untuk menjaringkan gol kedua Cameroon. FOTO Reuters
Reuters

Al Wakrah: Penyerang Cameroon, Vincent Aboubakar masuk sebagai gantian untuk menjaringkan satu gol dan mengumpan satu gol untuk seri 3-3 dengan Serbia, hari ini, sekali gus menamatkan rentetan lapan kekalahan berturut-turut di Piala Dunia dialami skuad Afrika itu.

Aksi turun naik dalam Kumpulan G itu menyaksikan kedua-dua pasukan mengumpul satu mata daripada dua perlawanan dan masih berpeluang mara ke pusingan 16 terakhir, walaupun Cameroon akan berdepan Brazil manakala Serbia menentang Switzerland, Jumaat ini.

Jean-Charles Castelletto meletakkan Cameroon pada minit ke-29, tetapi dua jaringan pada masa kecederaan babak pertama menerusi Strahinja Pavlovic dan Sergej Milinkovic-Savic menyaksikan Serbia mendahului 2-1.

Apabila Aleksandar Mitrovic menjaringkan satu lagi gol untuk Serbia pada minit ke-53, pasukannya menguasai sepenuhnya perlawanan dan dijangka akan menang.

Bagaimanapun, Aboubakar yang muncul penjaring terbanyak di Piala Negara-Negara Afrika, awal tahun ini, mengubah perlawanan apabila masuk sebagai pemain gantian.

Dia menjaring gol solo menarik apabila melambungkan bola mengatasi penjaga gol untuk merapatkan jurang pada minit ke-63, sebelum mengumpan kepada Eric Maxim Choupo-Moting untuk gol penyamaan, tiga minit kemudian.

Bagaimanapun, Serbia yang lebih dulu bermula dengan tersusun dan mengancam lawan.

Mitrovic beberapa kali membuat percubaan berbahaya termasuk satu tandukan melepasi palang manakala satu rembatannya terkena tiang gol.

Dia memiliki satu lagi peluang apabila pemain Cameroon gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, namun percubaannya tersasar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 8:50 PM