MITROVIC (kiri) meledak 11 gol dalam Liga Perdana musim lalu. — FOTO Agensi
MITROVIC (kiri) meledak 11 gol dalam Liga Perdana musim lalu. — FOTO Agensi
Reuters

PENYERANG Fulham, Aleksandar Mitrovic menamatkan spekulasi mengenai masa depannya di kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu apabila menandatangani kontrak baharu lima tahun.

Pemain kebangsaan Serbia itu menjaringkan 11 gol dalam Liga Perdana Inggeris buat kelab Craven Cottage itu musim lalu namun ia tidak mampu menyelamatkan mereka daripada tersingkir ke liga bawahan.

Beberapa kelab dikaitkan dengan perpindahan buat pemain berusia 24 tahun itu selepas Fulham turun ke divisyen dua, termasuk kelab China.

Mitrovic mengesahkan dia menolak tawaran pasukan yang berminat untuk komited dengan perjanjian yang akan mengekalkannya di London hingga musim panas 2024.

“Banyak kelab berminat tapi akhirnya saya memutuskan untuk kekal di sini kerana saya amat gembira dan sudah menyesuaikan diri di Fulham,” katanya kepada fulhamfctv.

“Sejak hari pertama saya hadir di sini saya menerima sambutan hebat daripada setiap orang di kelab dan penyokong. Saya berasa lebih bermotivasi dan setiap pagi apabila saya datang ke sini untuk bekerja saya gembira. Saya sudah menemui kebahagiaan dan keseronokan di sini.”

Mitrovic menyertai kelab itu secara pinjaman dari Newcastle United pada Januari 2018, membantu mereka naik liga menerusi play-off Liga Kejuaraan sebelum menjadikan perpindahannya tetap pada musim panas lalu dengan harga £22 juta (RM114 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 12:56 PM