Bintang Belanda, Cody Gakpo (Kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Bintang Belanda, Cody Gakpo (Kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Doha: Penyerang Belanda, Cody Gakpo terharu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United namun tumpuan utamanya pada saingan Piala Dunia, ketika ini.

Gakpo menyinar dalam skuad Belanda apabila menjaringkan setiap gol dalam dua perlawanan awal mereka bagi saingan Kumpulan A.

Bintang PSV Eindhoven berusia 23 tahun itu sebelum ini dilaporkan sudah dilamar pengendali United dari Belanda, Erik ten Hag pada musim rehat sebelum skuad Red Devils mengambil keputusan untuk menandatangani bintang Brazil, Antony dari Ajax.

Namun laporan media menyatakan United akan kembali berunding untuk mendapatkan khidmat Gakpo pada Januari depan.

"Tumpuan saya kini adalah Piala Dunia. Adalah sentiasa perkara bagus untuk mendengar beberapa khabar angin seperti itu tetapi saya cuba memberi tumpuan di sini dan melakukan yang terbaik." katanya.

Gakpo mempunyai permulaan musim yang baik bersama PSV dan penjaring terbanyak dengan sembilan gol dalam Liga Belanda. Dia juga mencatat rekod 12 bantuan gol dalam liga.

Dia menjaringkan gol pembukaan Belanda ketika menang 2-0 ke atas Senegal dan memberikan pasukan negaranya mendahului ketika seri 1-1 dengan Ecuador.

"Saya tidak terkejut dengan kemampuan diri sendiri, tetapi... saya fikir saya boleh meningkat dengan lebih banyak perkara," katanya.

Belanda akan berdepan tuan rumah Qatar yang sudahpun tersingkir daripada saingan kejohanan. Mereka akan mengelak daripada menerima kekalahan untuk memastikan tempat dalam kelompok 16 terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 2:59 AM