AKSI Gakpo melakukan tandukan ke gawang Ecuador.
AKSI Gakpo melakukan tandukan ke gawang Ecuador.
AFP

Doha: Perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) mungkin tidak dapat elakkan buat bintang Belanda, Cody Gakpo tetapi prestasinya setakat ini di Piala Dunia membolehkan PSV Eindhoven meningkatkan harga pemain itu pada jendela perpindahan Januari ini.

Gakpo menjaringkan gol dalam setiap perlawanan Belanda di Qatar dengan jaringan menerusi tandukan lewat menewaskan Senegal 2-0 pada aksi pembukaan dan rembatan kaki kiri ketika seri 1-1 dengan Ecuador awal pagi tadi.

Sumbangan pemain berusia 23 tahun itu membolehkan skuad Louis van Gaal hampir mara ke peringkat 16 terakhir dan hanya memerlukan satu mata pada aksi terakhir menentang Qatar yang sudah pun tersingkir.

Namun Belanda tidak boleh berpuas hati selepas jaringan Gakpo pada minit keenam itu satu-satunya percubaan tepat mereka ketika menentang Ecuador.

Begitupun, Gakpo sekali lagi menjadi tumpuan.

"Sebelum kejohanan di sini, banyak cakap-cakap positif mengenai Gakpo dan kini menunjukkan dia pemain muda yang hebat," kata rakan sepasukan yang beraksi di Manchester City, Nathan Ake.

"Dia pemain yang bagus, bekerja keras dan anda nampak bakatnya di sini."

Kemampuan Gakpo melegakan Oranje yang kekurangan penyerang berwibawa terutamanya selepas Memphis Depay yang masih bergelut dengan masalah kecergasan.

Gakpo juga penjaring terbanyak liga tempatan dengan 13 gol dalam 24 perlawanan bersama skuad Ruud van Nistelrooy dan kini di peringkat antarabangsa dia meledak empat gol dalam lima penampilan terakhir.

Dia menjadi idaman beberapa kelab EPL dengan Manchester United mendahului pesaing lain untuk mendapatkan tandatangannya pada Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 8:35 AM