LUKAKU (tengah) jaring dua gol bantu Belgium benam Iceland. -Foto EPA
LUKAKU (tengah) jaring dua gol bantu Belgium benam Iceland. -Foto EPA
Reuters

REYKJAVIK: Penyerang Belgium, Romelu Lukaku menyumbat dua gol selain memenangi penalti yang disempurnakan Eden Hazard apabila mereka menewaskan Iceland 3-0 pada aksi Liga Negara Eropah, Kumpulan 2 Liga A di sini, awal pagi tadi.

Lukaku dijatuhkan Sverrir Ingi Ingason pada minit ke-28 dan perancang tengah Chelsea, Hazard tenang mengelirukan penjaga gol Hannes Halldorsson menerusi sepakan penalti.

Lukaku menjadikan kedudukan 2-0 buat Belgium beberapa minit kemudian, menyepak masuk bola muntah yang melepasi garisan gol walaupun berjaya dikeluarkan Birkir Saevardsson. Penyerang Manchester United itu kemudian menjaringkan gol ketiga dengan sentuhan menarik sembilan minit sebelum tamat.

Ia perlawanan pertama Belgium pada kejohanan baru itu dan menamatkan rentetan tanpa kalah 13 perlawanan buat Iceland di laman sendiri, selepas mereka dibelasah Switzerland 6-0 pada aksi pertama Liga Negara Eropah di gelanggang lawan, Sabtu lalu.

Pengurus Iceland, Erik Hamren kini kalah dua perlawanan awalnya sebagai pengendali dengan dibolosi sembilan gol, sekali gus mencalar reputasi negara Nordic itu yang bertindak buruk di benteng pertahanan.

Belgium memulakan aksi dengan sembilan pemain yang beraksi ketika mengalahkan England pada aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia di Russia, dengan pemain yang cedera Kevin De Bruyne digantikan oleh Dries Mertens. Sekalipun hilang perancang utama, mereka tidak kekeringan dari segi kreativiti.

Gylfi Sigurdsson kecewa apabila percubaan awalnya terbias ketika Iceland mengasak, namun sebaik Belgium mendahului selesa 2-0, tuan rumah gagal mencipta sebarang peluang tepat ke arah gol lawan.

Sebaliknya Belgium bingkas menyerang dengan sepakan Thomas Meunier terkena tiang gol pada pertengahan babak kedua dan Lukaku merembat liar melepasi gawang sebelum berjaya memperdayakan Halldorsson untuk melengkapkan kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 9:45 AM