BEKAS pemain antarabangsa Jerman, Lothar Matthaeus bersama kertas undian tertera nama Jerman pada majlis undian Piala Dunia dekat Doha, Qatar, hari ini. FOTO EPA
BEKAS pemain antarabangsa Jerman, Lothar Matthaeus bersama kertas undian tertera nama Jerman pada majlis undian Piala Dunia dekat Doha, Qatar, hari ini. FOTO EPA
AFP

Doha: Juara dunia empat kali, Jerman dan pemenang 2010, Sepanyol bakal bertembung di Qatar selepas diundi dalam kumpulan sama pada pusingan akhir Piala Dunia.

Kedua-dua gergasi Eropah itu juga akan bertemu Jepun serta pemenang aksi playoff antara benua membabitkan Costa Rica dan New Zealand dalam Kumpulan E.

Sepanyol membelasah Jerman 6-0 di saingan Liga Negara-Negara pada November 2020.

Penjaga gol dan kapten Jerman, Manuel Neuer berkata: "Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila kami akan bertemu lawan yang kuat.

"Kami mempunyai memori yang pahit tetapi ia tidak akan berlaku kepada kami buat kali kedua.

"Kami yakin yang kami akan melalui kejohanan ini dengan bagus. Mereka semua adalah lawan yang kuat, jadi kami perlu bersiap sedia."

Jerman tersingkir pada peringkat kumpulan di Piala Dunia 2018 dan tewas kepada England di pusingan 16 terakhir kejohanan Eropah, Jun tahun lalu.

"Kami tidak dapat meraih kejayaan dalam kejohanan baru-baru ini dan kami mahu menebus kekecewaan itu," kata Neuer.

Sementara itu, ketua jurulatih Jerman, Hansi Flick menyifatkan pertembungan dengan juara edisi 2010, Sepanyol amat menarik.

"Kumpulan yang menarik, tetapi tidak mudah. Kami meletakkan harapan yang tinggi di kejohanan ini.

"Jepun adalah pasukan yang mempunyai ramai pemain beraksi di Bundesliga, jadi mereka pastinya mempunyai kualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 6:49 AM