TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mahu JDT menjuarai Piala FA 2023.
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim mahu JDT menjuarai Piala FA 2023.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kisah dongeng menjadi kenyataan atau sejarah final Piala Malaysia 2021 mungkin tidak akan berulang lagi pada perlawanan akhir Piala FA membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Keyakinan itu disuarakan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila kekalahan di pentas final Piala Malaysia dua tahun lalu umpama mengejutkan harimau daripada tidur, sekali gus menyaksikan mereka belajar sesuatu dan bangkit beraksi cukup konsisten seterusnya tidak pernah tewas dalam saingan domestik sejak dua musim lalu.

Tunku Ismail berkata, kekalahan pada final Piala Malaysia 2-0 kepada KL City pada 2021 kerana pasukannya berhadapan situasi 'hari terburuk' sekali gus barisan pemain tidak beraksi seperti yang direncanakan oleh barisan kejurulatihan.

"Kita boleh kalah dan kita juga boleh menang. Kita kalah pada hari itu (final Piala Malaysia 2021) kerana 'bad day' dan bukan bermain seperti JDT.

"Selepas itu, perkara terbabit tidak berlaku lagi apabila menentang KL City. Dalam empat atau lima perlawanan kita menang semuanya dengan menjaringkan 20 gol manakala KL City hanya satu gol saja," katanya menerusi sesi soal jawab di laman sosial Johor Southern Tiger.

Mengikut rekod, pada 2021 menyaksikan KL City menyempurnakan 'kisah dongeng' mereka apabila mengejutkan juara bertahan, JDT 2-0 untuk merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain itu, Tunku Ismail juga memberi peringatan kepada skuad The City Boys bahawa mereka berhadapan pasukan yang berbeza di pentas final Piala FA sekali gus sudah pastinya agak sukar untuk mencipta kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim.

"Mereka kena tahu juga pasukan yang akan bertemu di final bukan pasukan yang lawan pada 2021. Kami berharap boleh menang dan mengcipta sejarah lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 10:21 AM