FARIZAL enggan pandang rendah cabaran lawan.
FARIZAL enggan pandang rendah cabaran lawan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hanya dibolosi dua gol sepanjang kempen Piala Malaysia bukanlah perkara harus dibanggakan sehingga memandang remeh keupayaan jentera serangan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada final Piala Malaysia malam esok.

Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) Farizal Marlias berkata, skuad Warga Kota terkenal dengan senjata rahsia mereka yang mampu memerangkap lawan menerusi situasi bola mati.

Pemain berusia 35 tahun itu berkata, walaupun kali ketiga beraksi di pentas final Piala Malaysia, dia melihat perlawanan itu cukup sengit sekali gus menuntut rakannya memberikan komitmen tinggi dalam usaha menjulang piala tertua di Asia Tenggara itu. "Penyerang Kuala Lumpur Romel Morales cukup bagus dan berbahaya terutama ketika berada di kotak penalti. Oleh itu, perlu berhati-hati kerana situasi bola mati daripada Kuala Lumpur sering memerangkap lawan dan harus mengambil pengajaran daripada perlawanan terdahulu.," katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, Farizal berkata, semua pemain JDT mempunyai impian tinggi dengan mahu mendakap piala sempena 100 penganjuran Piala Malaysia.

"Saya boleh katakan perlawanan malam esok berbeza dengan pertembungan sebelum ini kerana Kuala Lumpur mempunyai kekuatan tersendiri. Perkara penting adalah pemain perlu membuat persiapan rapi kerana Kuala Lumpur sangat berdisplin dan serangan pantas dilihat agak berbahaya. Oleh itu, jangan memandang remeh pasukan lawan dan gunakan seluruh kekuatan yang ada serta turun dengan penuh bersemangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 9:26 PM