MARTINO (dua dari kanan) akui pasukannya wajib menang pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan minggu depan. FOTO AP
MARTINO (dua dari kanan) akui pasukannya wajib menang pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan minggu depan. FOTO AP
Reuters

Lusail: Jurulatih Mexico, Tata Martino berkata, beliau menjangkakan aksi terakhir Kumpulan C menentang Arab Saudi Khamis ini dijangka sengit bermula di awal perlawanan selepas kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan besar untuk memastikan tempat ke pusingan kalah mati.

Mexico, yang mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Poland pada aksi pembukaan, menduduki tangga terbawah dengan hanya meraih satu mata selepas Argentina menghidupkan kembali kempen mereka hasil gol kemenangan separuh masa kedua melalui Lionel Messi dan Enzo Fernandez.

Pasukan bimbingan Martino yang masih belum meledak sebarang gol di kejohanan ini, harus menumpaskan Arab Saudi sekurang-kurangnya dengan tiga gol bagi memburu slot ke saingan 16 akir.

Jika Poland menumpaskan Argentina, sebarang kemenangan tanpa mengira jumlah jaringan sudah memadai.

"Selagi masih ada peluang, kami akan sentiasa mencuba. Arab Saudi memerlukan kemenangan dan menjaringkan gol, begitu juga dengan kami.

"Saya percaya dalam kehidupan dan di sini, bersama pemain-pemain ini, yang bersaing setiap hari ia sudah menjadi kebiasaan untuk bangkit apabila terpaksa. Ia sukar, sudah tentu. Ia pasti sukar... Gol kedua benar-benar berbahaya untuk kami," kata Martino.

Bermain dengan melakukan serangan balas pantas dan bergerak di seluruh padang, permainan secara tekanan tinggi Mexico menyekat sebahagian besar serangan Argentina serta merantai tonggak utama, Lionel Messi, tatkala ketua pasukan mereka, Andres Guardado berada di bahagian tengah.

Bagaimanapun, Guardado mengalami kecederaan di lewat aksi separuh masa pertama dan Argentina kelihatan lebih yakin selepas rehat, sebelum Messi memecah kebuntuan, manakala pemain gantian, Fernandez mengesahkan kemenangan pasukan bimbingan Lionel Scaloni itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 8:32 AM