Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora menegaskan aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Piala Sultan Ahmad Shah dekat Stadium Sultan Ibrahim, malam esok bukan misi membalas dendam.

Sebaliknya, pengendali kelahiran Mexico itu berkata, walaupun tewas 0-2 pada aksi final Piala Malaysia musim lalu ia adalah perlawanan berbeza kerana aksi kali ini bagi merebut Piala Sumbangsih dan ingin mengekalkan piala itu yang dimenangi sejak 2018.

"Saya enggan berdendam selepas tewas kepada KL City FC musim lalu dan terlepas memenangi Piala Malaysia. Ini adalah perlawanan berbeza dan pastinya pemburuan untuk mengekalkan piala sumbangsih buat kali kelima begitu tinggi.

Benjamin Mora (Kiri) dan Farizal Marlias. FOTO JDT
Benjamin Mora (Kiri) dan Farizal Marlias. FOTO JDT

"Untuk aksi malam esok sudah tentu kami mahu beri yang terbaik berbanding ketika final Piala Malaysia dan pada perlawanan kali ini kiraan mata tidak dikira namun kami tetap mengambil serius untuk berdepan KL City FC kerana mahu membuka langkah positif sebelum bermula tirai saingan Liga Super.

"Apapun, kami bersikap berhati-hati memandangkan skuad kendalian Bojan (Hodak) adalah pasukan yang berkualiti tatkala mampu beri saingan terhadap JDT malah kerap tampil dengan corak permainan mantap dan kerap menunjukkan semangat melawan," kata Mora.

Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora. -FOTO NSTP
Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora. -FOTO NSTP

Beliau juga mengakui agak bingung untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik terutama dua tenaga import baharu pasukan iaitu Fernando Forestieri dan Moussa Sidibe yang menunjukkan corak permainan konsisten ketika aksi pra musim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Sementara itu, kapten JDT, Farizal Marlias senada dengan Mora yang menganggap aksi menentang KL City FC bukan untuk membalas dendam sebaliknya mahu memberi sepenuh tumpuan tatkala ia aksi pertama di laman sendiri dan pastinya mahu mencipta kemenangan.

"Untuk aksi menentang KL, kami perlu berwaspada dengan corak serangan balas pasukan itu kerana pemain pasukan itu bijak mengambil kesempatan jika kami leka. Oleh itu kami harus bersedia dan memberi saingan hebat kepada pasukan lawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:21 PM