Bintang England, Raheem Sterling (kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya. FOTO EPA
Bintang England, Raheem Sterling (kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya. FOTO EPA
AFP

Al Wakrah, Qatar: Raheem Sterling kembali menjalani latihan untuk England hari ini selepas tiba di Qatar menjelang aksi suku akhir Piala Dunia berdepan Perancis.

Sterling tidak beraksi dalam perlawanan kelompok 16 terbaik menentang Senegal selepas pulang ke England susulan kes rompakan di kediamannya.

Penyerang Chelsea itu kembali ke Doha pada Khamis dan kembali menjalani latihan di Kelab Sukan Al Wakrah bersama 24 pemain lain dalam skuad England.

Declan Rice, yang terlepas sesi latihan kerana masalah kesihatan pada Rabu, kembali menjalani latihan hari kedua berturut-turut sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai ketiadaan pemain itu berdepan skuad kendalian Didier Deschamps.

Pemain lain yang sebelum ini berada dalam senarai kecederaan adalah penyerang simpanan Callum Wilson, yang menjalani rawatan kecederaan otot turut mengambil bahagian dalam sesi latihan dan tidak menunjukkan mengalami kecederaan.

Sekalipun kembali ke kem latihan, Sterling belum pasti akan diturunkan dalam senarai kesebelasan utama skuad kendalian Gareth Southgate pada awal pagi Ahad namun dia memberi pengurus itu beberapa pilihan di barisan serangan dari bangku simpanan.

England menampilkan Phil Foden dan Bukayo Saka di bahagian sayap dengan Harry Kane seperti biasa di bahagian tengah menyerang menentang Senegal.

Southgate turut mempunyai Marcus Rashford dan Jack Grealish sebagai pilihan di bahagian sayap serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 9:37 PM