RIBUAN penyokong Ecuador meraikan kejayaan pasukan kebangsaan mereka. FOTO AFP
RIBUAN penyokong Ecuador meraikan kejayaan pasukan kebangsaan mereka. FOTO AFP
Reuters

Quito: Ribuan penyokong teruja meraikan kejayaan Ecuador di merata bandar raya merentasi negara itu selepas wakil Amerika Selatan berkenaan meraih kemenangan bersejarah ke atas tuan rumah, Qatar pada aksi pembukaan Piala Dunia 2022, awal pagi tadi.

Ecuador membuka kempen kali ini dengan sempurna menerusi kemenangan 2-0 ke atas Qatar pada aksi pertama Kumpulan A hasil dua jaringan Enner Valencia pada babak pertama.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Piala Dunia pasukan tuan rumah tewas pada aksi pembukaan piala berprestij itu.

Penyokong yang memakai jersi pasukan itu selain mengibarkan bendera Ecuador memenuhi restoran, dataran dan pusat membeli belah di serata negara itu bagi menzahirkan sokongan kepada Ecuador dengan slogan tradisional 'Ya kita boleh'.

"Saya begitu emosional dan hilang kata-kata, saya tidak boleh menggambarkannya.

"Kita bersatu sebagai rakyat Ecuador dan di mana sahaja pasukan kami berada, kami perlu memberikan sokongan," kata Jenny Espinosa yang menyaksikan perlawanan terbabit bersama rakannya di Ibarra yang terletak di bahagian utara negara itu.

Di beberapa bandar besar seperti Quito, Guayaquil dan Cuenca, penyokong yang berhimpun di taman dan menyaksikan perlawanan di skrin gergasi turut mengibarkan bendera, menari serta bernyanyi selepas tamat perlawanan.

"Sangat mengujakan apabila pasukan kita menang," kata pemandu teksi berusia 35 tahun, Hugo Pena yang meraikan kejayaan itu di salah satu jalan utama di Guayaquil.

"Kita berharap supaya mereka menunjukkan persembahan yang baik menentang Belanda, mendapatkan keputusan positif dan layak ke pusingan seterusnya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 10:59 AM