SUASANA di hujung perlawanan pembukaan antara Qatar dengan Ecuador di Stadium Al-Bayt dekat Al Khor, hari ini. FOTO AFP
SUASANA di hujung perlawanan pembukaan antara Qatar dengan Ecuador di Stadium Al-Bayt dekat Al Khor, hari ini. FOTO AFP
AFP

Al Khor: Beribu-ribu kerusi kosong menceritakan kisah sedih penampilan sulung Qatar di Piala Dunia yang berakhir dengan kekecewaan.

Sebelum wisel penamat di Stadium Al Bayt ditiup, penyokong tuan rumah yang terdiri daripada sebahagian 67,372 penonton sudah mula melangkah keluar stadium pada aksi pembukaan.

Ia bermula sejurus selepas penyerang Ecuador, Enner Valencia menanduk masuk gol keduanya sejurus selepas setengah jam perlawanan yang menyaksikan Qatar tuan rumah pertama tewas pada aksi pembukaan Piala Dunia.

Ketika separuh masa kedua berlalu, banyak tempat duduk yang tidak terisi dapat dilihat di seluruh stadium.

Perlawanan yang suram itu amat berbeza dengan suasana beberapa jam sebelum sepak mula di stadium dekat Al Khor, 50 kilometer di utara ibu negara Qatar, Doha.

Carlos Alvear, seorang warga Ecuador berkata: "Sungguh istimewa berada di sini. Ia adalah Piala Dunia pertama di Timur Tengah dan cukup bersejarah. Ecuador berada di sini untuk perlawanan pembukaan.

"Sejujurnya, semuanya agak pelik. Ia agak sunyi, walaupun terdapat lebih ramai orang Ecuador daripada yang saya jangkakan."

Bagi penyokong Qatar yang hanya mahu dikenali sebagai Abdallah, ia adalah detik yang mengujakan.

"Kami sudah menunggu detik ini selama 12 tahun. Kami percaya pasukan kami mampu beraksi dengan cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 7:07 AM