ALVES (dua dari kiri) dikecam masih lagi mendapat tempat dalam skuad Brazil walaupun sudah berusia. FOTO AFP
ALVES (dua dari kiri) dikecam masih lagi mendapat tempat dalam skuad Brazil walaupun sudah berusia. FOTO AFP
Reuters

Sao Paulo: Bekas pemain tengah Brazil, Ze Roberto berkata, kritikan terhadap pemilihan Dani Alves ke Piala Dunia Qatar adalah disebabkan budaya pantang larang ke atas pemain veteran yang masih lagi mewakili negara berkenaan.

Itulah yang dialaminya ketika beraksi buat kali terakhir di Piala Dunia 2006.

Jurulatih Brazil, Tite mendapat kritikan daripada media tempatan selepas menyenaraikan Alves, 39, yang kali terakhir beraksi pada September dan baru sembuh dari kecederaan lutut.

"Isu umur ini adalah budaya. Saya mengalaminya secara langsung apabila saya kembali ke Brazil selepas Piala Dunia 2006,"

"Sukar untuk mengubah mentaliti ini, kerana ia adalah sebahagian daripada budaya peminat Brazil, akhbar.

"Dalam kes saya, saya terpaksa berdepan pantang larang. Apa yang saya lihat, pantang larang ini masih belum dilanggar, ia wujud hingga ke hari ini," kata Ze Roberto kepada laman web Brazil UOL.

Ze Roberto menyertai skuad ke Piala Dunia 2006 di Jerman pada usia 32 tahun ketika beliau sudah kembali ke Brazil selepas melalui karier panjang di Eropah.

Bagaimanapun, pemilihannya turut mencetuskan kritikan di negara kelahirannya.

Bekas Pemain yang kini berusia 48 tahun itu menambah bahawa pengalaman Alves akan menjadi nilai besar kepada pasukan yang juga antara pilihan untuk menjulang trofi di Qatar.

"Pengalaman Daniel Alves adalah penting untuk skuad. Ia penting buat pemain baharu, yang cemerlang di Eropah tetapi akan bermain dalam Piala Dunia pertama mereka,"

"Anda memerlukan pemain yang berpengalaman untuk menyokong anda. Dia dipanggil kerana keputusan hebat yang dia diperoleh dalam kerjayanya dan kerana dia masih boleh memberi faktor tambahan di Piala Dunia, sama ada bermain mahupun tidak," kata Ze Roberto.

Brazil akan memulakan kempen untuk menjulang kejuaraan Piala Dunia keenam dengan menentang Serbia Jumaat depan.

Mereka turut diundi bersama Switzerland dan Cameroon dalam Kumpulan G.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 9:41 AM