ALVES (kanan) meraikan kejayaan mengalahkan Argentina 2-0 pada separuh akhir Copa America. — FOTO AFP
ALVES (kanan) meraikan kejayaan mengalahkan Argentina 2-0 pada separuh akhir Copa America. — FOTO AFP
AFP

PADA usia 36 tahun, kapten Brazil, Dani Alves mungkin boleh dimaafkan jika dia memikirkan untuk menggantung but dan berbangga dengan kabinet trofi yang penuh.

Sebaliknya, Alves bersedia memainkan peranan utama apabila Brazil berdepan Peru pada final Copa America di Stadium Maracana, Rio de Janeiro awal pagi Isnin ini dan pertahanan kanan itu tidak menunjukkan tanda-tanda dia mahu bersara.

“Saya sedar berapa usia saya dan saya tahu apa maknanya dalam bola sepak, tapi saya faham orang mahukan keputusan,” kata Alves, ketika ini tanpa kelab selepas mengumumkan bulan lalu dia meninggalkan Paris Saint-Germain.

“Saya fokus terhadapnya, saya tidak fokus mengenai usia atau apa tanggapan orang mengenai saya.

ALVES (kanan) bertembung dengan kapten Argentina, Messi pada separuh akhir Copa. — FOTO Reuters
ALVES (kanan) bertembung dengan kapten Argentina, Messi pada separuh akhir Copa. — FOTO Reuters

“Saya bukan berada di sini untuk menafikan pengkritik, saya hanya berada di sini untuk melakukan tugas saya.”

Ketika ini, kabinet trofinya sudah mempunyai satu kejuaraan Copa America dan menurut sesetengah senarai, jumlah trofi melebihi usianya.

Dia menang tiga trofi Liga Juara-Juara, dua Piala UEFA, tiga Piala Kelab Dunia, empat Piala Super Eropah – dan ia hanya di peringkat kelab Eropah.

Enam kejuaraan La Liga bersama Barcelona, dua kejuaraan Ligue 1 Perancis bersama Paris Saint-Germain dan satu Serie A bersama Juventus, tidak termasuk lapan piala domestik di Sepanyol, Perancis dan Itali.

Bersama Brazil, dia menang Copa America 2007 dan dua Piala Konfederasi.

UEFA menyenaraikannya di tangga teratas trofi utama dimenangi oleh seseorang pemain di Eropah dengan 29, ketika Lionel Messi hanya berkongsi tangga keempat dengan 26.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 11:37 AM