PEMAIN City kecewa selepas mereka dikejutkan Brentford 1-2. FOTO AFP
PEMAIN City kecewa selepas mereka dikejutkan Brentford 1-2. FOTO AFP
AFP

Manchester: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pemainnya mungkin sudah terbayang saingan Piala Dunia apabila 10 pemain yang diturunkan adalah mereka yang bakal beraksi di Qatar.

Disebabkan itu mereka dikejutkan Brentford 1-2 di laman sendiri tatkala City belum pernah tewas di Etihad sejak Februari.

Persembahan hambar City menyaksikan mereka dihukum pada minit kelapan pada masa kecederaan apabila Ivan Toney meledak gol keduanya hasil hantaran lintang Josh Dasilva.

Kapten Brentford itu menanduk masuk gol pertama The Bees pada minit ke-16 tetapi City menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi Phil Foden.

"Pasukan lebih baik akan menang. Kami mempunyai banyak masalah dan gagal memberikan tekanan ke atas mereka," kata Guardiola.

Pengendali Brentford, Thomas Frank memuji persembahan terbaik anak buahnya yang kini melonjak ke tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris.

"Ini mungkin keputusan terbaik setakat ini. Menentang kelab paling kaya di dunia manakala kami antara yang mempunyai bajet paling kecil dalam divisyen ini," kata Frank.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 11:19 AM