HAALAND kembali hantui lawan.
HAALAND kembali hantui lawan.
Agensi

London: Manchester City berpeluang kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) jika mengekalkan rekod kemenangan ke atas Fulham yang semakin garang di Stadium Etihad malam esok.

Skuad Pep Guardiola memintas Arsenal tujuh hari lalu selepas menang 1-0 di Leicester namun Gunners merampasnya semula selepas membelasah Nottingham Forest 24 jam kemudian.

Fulham kendalian Marco Silva berkunjung ke Manchester dengan semangat tinggi selepas tidak tewas empat perlawanan susulan keputusan seri 0-0 dengan Everton yang menyaksikan mereka mencipta 24 percubaan tepat.

Aleksandar Mitrovic tidak berada pada tahap terbaik pada perlawanan itu tetapi persaingannya dengan penjaring terbanyak EPL, Erling Haaland tetap menarik perhatian.

City menang dalam 12 perlawanan lalu menentang Whites dalam aksi liga serta kejohanan piala dan Fulham sudah pasti mahu pertembungan ke-13 kali ini berpihak kepada mereka.

Haaland tidak beraksi ketika City menang di Stadium King Power minggu lalu akibat kecederaan dialami ketika menentang bekas kelabnya, Borussia Dortmund.

Pemain Norway itu tidak menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan sehingga Selasa lalu tetapi berlatih bersendirian yang memungkinkannya beraksi malam esok.

Guardiola melakukan tujuh pertukaran daripada skuad yang menang di Leicester ketika menentang Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara kelmarin.

Phil Foden yang berehat di bangku simpanan sebelum ini dijangka kembali beraksi 90 minit manakala Julian Alvarez turut berharap tersenarai dalam kesebelasan selepas cemerlang ketika menentang Sevilla.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 10:49 AM