V P SHANMUGAM  menyampaikan insentif kepada atlet Sukma XX Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
V P SHANMUGAM menyampaikan insentif kepada atlet Sukma XX Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Perancangan pembangunan akar umbi menjadi antara pendekatan Kerajaan Negeri dalam membangunkan semula bola sepak negeri ini terbabit.

Exco Belia dan Sukan Melaka, V P Shanmugam berkata, ia antara susulan kegagalan Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) mendapatkan lesen kebangsaan, sekali gus menyaksikan pasukan berkenaan gagal berada dalam saingan kompetitif pada 2023.

Walaupun sedih, pihaknya yakin bola sepak Melaka mampu bangkit semula daripada detik hitam itu menerusi pelaksanaan program pembangunan akar umbi.

Menurutnya, bagi merealisasikan pendekatan itu perancangam dilakukan termasuk menerusi pelaksanaan lebih banyak aktiviti sukan di peringkat kawasan dalam usaha mencungkil bakat baharu dalam sukan di negeri berkenaan.

"Saya berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka untuk kita menggiatkan lagi aktiviti sukan di peringkat bawah.

"Sebelum ini, mungkin ada menganggap bakat di sekolah sukan negeri (SSN) adalah yang terbaik, tetapi saya masih percaya mungkin ada bakat lebih baik di luar yang kita terlepas pandang," katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Kemenangan Pemenang Pingat di Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX di Auditorium Seri Negeri, semalam.

Malah, sebarang penganjuran program sukan termasuk skala kecil di peringkat bawah tetap berkemungkinan boleh mencungkil bakat baharu yang bakal mewakili negeri dan negara pada masa hadapan.

Shanmugam berkata, program akar umbi juga mampu mewujudkan pasukan bola sepak dibarisi anak jati Melaka yang berupaya memberi cabaran dalam aksi liga kompetitif.

Dalam masa sama, langkah terbabit mengurangkan kebergantungan pasukan kepada pemain import yang menelan belanja besar.

Baginya, pembabitan bakat-bakat tempatan sepenuhnya pernah menyerlahkan Melaka pada era 80-an yang antara lain turut merekodkan kejayaan yang baik buat pasukan Hang Tuah.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, rayuan Sarawak United FC dan Melaka United FC ditolak Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB), selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2022 dalam satu mesyuarat sebelum ini.

Stuart berkata, ia menyaksikan keputusan dilakukan oleh First Instance Body (FIB) pada 12 Oktober lalu kekal sekali gus menyebabkan kedua-dua pasukan tidak memperoleh lesen kebangsaan untuk membenarkan mereka beraksi pada saingan Liga Super, tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 2:59 PM