MENDES (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan PSG.
MENDES (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas meledak gol kemenangan PSG.
Reuters

Turin: Jaringan pemain pertahanan Nuno Mendes pada babak kedua membantu PSG menang 2-1 di Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) tetapi pendahulu Kumpulan H milik Benfica yang menang besar ke atas Maccabi Haifa di tempat lawan.

Benfica membelasah Maccabi 6-1 dalam satu lagi perlawanan membolehkan kelab Portugal dan Perancis itu berkongsi 14 mata, memiliki rekod pertemuan 1-1 dan kedua-duanya terikat perbezaan sembilan gol.

Tetapi Benfica menduduki tempat teratas apabila meledak lebih banyak jaringan di tempat lawan dengan sembilan gol berbanding PSG enam selepas jaringan Joao Mario pada masa kecederaan membantu pasukannya mara sebagai juara kumpulan.

"Kami tewaskan Juventus dua kali dan sangat gembira sehinggalah minit ke-92," kata jurulatih PSG, Christophe Galtier kepada Canal+.

"Tetapi jika anda mahu pergi lebih jauh di kejohanan ini, anda perlu tewaskan pasukan besar. Tunggu undian dan lihat siapa lawan kami selepas ini.

"Ketika kami menang 7-2 minggu lalu (tewaskan Maccabi), kami berhenti bermain minit ke-90. Kami banyak lepaskan gol daripada set-piece seperti ketika menentang Haifa. Jika lepaskan kurang satu gol, kami mungkin juara kumpulan."

Juventus yang tewas 3-4 di Benfica minggu lalu tidak beraksi di peringkat kalah mati UCL kali pertama sejak 2013-14 dan buat julung kalinya mereka tewas lima daripada enam perlawanan peringkat kumpulan UCL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 8:22 AM