MBAPPE meraikan jaringannya bersama Messi.  FOTO Reuters
MBAPPE meraikan jaringannya bersama Messi. FOTO Reuters
AFP

Haifa, Israel: Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar menjaringkan gol ketika Paris Saint-Germain (PSG) bangkit menewaskan Maccabi Haifa 3-1 untuk kemenangan kedua daripada dua perlawanan peringkat Kumpulan H Liga Juara-Juara (UCL).

Tjaronn Chery meletakkan Haifa di depan tetapi Messi menyamakan kedudukan sebelum rehat untuk jaringannya pada saingan UCL musim ke-18 berturut-turut selain memintas rekod Cristiano Ronaldo selepas membolosi gawang 39 pasukan berbeza di UCL.

Ia juga jaringan ke-126nya di UCL, hanya ketinggalan 14 gol di belakang penyerang veteran Portugal itu yang meledak 140 gol.

PSG terus menamatkan harapan tuan rumah pada setengah jam terakhir menerusi jaringan Mbappe dan Neymar.

"Kami perlu terus perbaiki prestasi, kami perlu bekerja," kata Mbappe kepada Canal Plus.

"Kami perlu keputusan yang perlu ditunjukkan dengan cara kami beraksi kerana masa semakin suntuk dengan rehat antarabangsa dan Piala Dunia."

PSG kini menduduki tangga teratas Kumpulan H selepas berkelebihan jaringan berbanding Benfica di tangga kedua yang menewaskan Juventus 2-1.

"Kebolehan kami bertiga yang boleh mencipta perbezaan dalam perlawanan memberikan kami kelebihan. Saya harap kami akan dapat terus menjaringkan gol dan seterusnya memenangi perlawanan," kata Mbappe lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 11:02 AM