MESSI (dua dari kanan) meledak gol sulung PSG ketika berdepan Kawasaki. FOTO AFP
MESSI (dua dari kanan) meledak gol sulung PSG ketika berdepan Kawasaki. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Lionel Messi mencetak nama sebagai penjaring gol namun Paris Saint Germain (PSG) terpaksa bekerja keras untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kawasaki Frontale dalam aksi sulung pramusim di Jepun.

Penyerang bintang, Messi, Neymar dan Kylian Mbappe kesemuanya berada dalam kesebelasan utama dalam tugasan pertama pengurus baru PSG, Christophe Galtier di depan 65,000 penyokong di Stadium Nasional Tokyo.

Messi membuka jaringan menerusi rembatan pada minit ke-32 namun pasukan PSG yang membuat rombakan besar-besaran di separuh masa kedua hanya berjaya menambah satu gol lagi menerusi pemain gantian, Arnaud Kalimuendo.

Juara Liga J, Kawasaki berjaya merapatkan kedudukan apabila memperoleh gol pada minit ke-84 menerusi tandukan Kazuya Yamamura.

PSG akan beraksi dalam dua lagi aksi menentang pasukan Liga J dalam siri jelajah di Jepun apabila menentang Urawa Reds di Saitama Sabtu ini dan berdepan Gamba Osaka di Osaka Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 10:38 PM