REAKSI kecewa pemain Liverpool ketika bertemu Leeds. FOTO AFP
REAKSI kecewa pemain Liverpool ketika bertemu Leeds. FOTO AFP
Agensi

Liverpool: Trent Alexander-Arnold berkata 'ada sesuatu yang tidak kena' dengan Liverpool selepas mengalami kekalahan kali kedua berturut-turut di saingan Liga Perdana Inggeris.

Liverpool tewas 1-2 di halaman sendiri kepada Leeds, semalam, seminggu selepas dikejutkan dengan kekalahan 0-1 di Nottingham Forest.

Pemain pertahanan, Alexander-Arnold berkata, The Reds masih mempunyai keyakinan diri namun kekalahan terbaru itu membuatkan mereka 'meneka sendiri dan mempersoalkan sesuatu'.

"Jelas sekali sebagai sebuah pasukan, ada sesuatu yang tidak kena. Ia tidak berjalan seperti yang kami harapkan.

"Semua orang harus memikirkan perkara ini, mencari jalan untuk memperbetulkannya, terutama minggu depan apabila menentang Tottenham.

"Kami perlu berada di sana dan mencari mata jika mahu mencapai matlamat kami musim ini," kata Alexander-Arnold.

Bek kanan England itu turut berkata, kekalahan pertama Liverpool di laman sendiri sejak Mac 2021 adalah sesuatu yang sukar untuk diterima.

"Saya rasa penting untuk kami menilai apa yang tidak kena. Buat masa sekarang, kami perlu mengutip mata sebanyak mungkin sebelum rehat (Piala Dunia).

"Tempoh rehat ini tiba tepat pada masanya untuk kami memulakan babak kedua musim ini dengan lebih baik," katanya.

Skuad kendalian Jurgen Klopp, yang tewas empat kali, menang empat dan seri empat musim ini, kini di tangga kesembilan Liga Perdana.

Selepas melayan kunjungan Napoli untuk aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu, Liverpool kembali ke aksi liga menentang Tottenham pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 10:22 AM