ALEXANDER-Arnold ketika beraksi dengan pemain Bayern Munich Franck Ribery. -Foto REUTERS
ALEXANDER-Arnold ketika beraksi dengan pemain Bayern Munich Franck Ribery. -Foto REUTERS
AFP

PERTAHANAN Liverpool Trent Alexander-Arnold menarik diri daripada skuad England untuk aksi kelayakan EURO 2020 akibat kecederaan belakang.

Alexander-Arnold berdepan masalah itu sebelum menyertai latihan skuad England dan hari ini memutuskan tidak dapat pulih tepat pada masanya untuk menentang Republik Czech dan Montenegro.

Pemain berusia 20 tahun itu kembali ke Liverpool untuk menyambung rawatan dan bakal menyertai skuad Liga Perdana Inggeris sebaik tamat rehat aksi antarabangsa.

“Trent Alexander-Arnold menarik diri daripada skuad England dan kembali ke Liverpool,” demikian menurut kenyataan FA Inggeris.

“Bek kanan itu mengalami kecederaan belakang dan meskipun menunjukkan kemajuan sejak beberapa hari ini, dia tidak mungkin akan menggalas tugas untuk kelayakan EURO 2020.

“Pemain berusia 20 tahun itu akan meneruskan program pemulihannnya menyebabkan Gareth Southgate kini memiliki 22 pemain.”

England yang juga pasukan separuh akhir Piala Dunia akan menanti kunjungan Republik Czech di Wembley awal pagi Sabtu sebelum berkunjung ke Montenegro untuk perlawanan kedua Kumpulan A awal pagi Selasa.

Pemain Manchester City Kyle Walker dan pemain Tottenham Kieran Trippier juga adalah pemain bek kanan berbakat di skuad itu.

Alexander-Arnold adalah pemain kelima menarik diri daripada skuad England selepas Fabian Delph, John Stones, Luke Shaw dan Ruben Loftus-Cheek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 9:59 AM