WELSEY Fofana (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika bertemu Leeds pada saingan Liga Perdana Inggeris. FOTO EPA
WELSEY Fofana (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan ketika bertemu Leeds pada saingan Liga Perdana Inggeris. FOTO EPA
AFP

London: Chelsea mempunyai peluang terakhir untuk menyelamatkan musim mereka apabila Borussia Dortmund berkunjung ke Stamford Bridge pada pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu bagi mempertahankan kelebihan 1-0 pada perlawanan pertama.

Meskipun melakar rekod perbelanjaan tertinggi melebihi £500 juta (RM2.69 bilion) untuk tempoh semusim oleh pemilik baharu The Blues, Chelsea masih menduduki tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tersingkir awal dalam dua saingan piala domestik di tangan Manchester City.

Graham Potter menarik nafas lega selepas anak buahnya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Leeds, Sabtu lalu untuk menamatkan rentetan enam perlawanan tanpa kemenangan.

Bagaimanapun kemenangan itu masih tidak dapat menafikan realiti bahawa masa depan Potter tetap terancam apabila bertemu gergasi Jerman itu.

Menjaringkan gol menjadi masalah terbesar bagi anak buah Potter, dengan barisan pemain baharu digesa untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka.

"Kami perlu mempamer aksi menyerang lebih baik sebagai satu pasukan. Itu tanggungjawab saya.

"Terlalu mudah untuk meletakkan kesalahan kepada individu. Ia adalah tanggungjawab bersama. Kami perlu mencipta lebih banyak lagi peluang serta melakukan lebih baik dan itu bermula daripada saya.

"Saya perlu membantu pasukan mendapatkan peluang yang lebih baik. Saya tidak meragui kualiti setiap pemain," kata Potter.

Walaupun mengalami kecederaan pada musim pertamanya di Stamford Bridge, Raheem Sterling kekal sebagai penjaring terbanyak Chelsea musim ini dengan enam gol dalam semua pertandingan.

Sterling tidak menjaringkan gol sejak 1 Januari lalu, tetapi Potter percaya dia boleh memberikan impak yang diperlukan pasukannya apabila menentang Dortmund.

"Rekod jaringannya di Liga Juara-Juara membuktikan segala-galanya. Dia sudah membuktikan kemampuannya dalam pertandingan itu," kata Potter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 9:49 AM