AKSI Vazquez menjaringkan gol kedua Madrid. FOTO Reuters
AKSI Vazquez menjaringkan gol kedua Madrid. FOTO Reuters
Reuters

Madrid: Jaringan lewat Lucas Vazquez dan Federico Valverde membolehkan Real Madrid menang 3-1 ke atas Sevilla dan melebarkan jurang enam mata selaku pendahulu LaLiga awal pagi tadi.

Luka Modric meletakkan juara bertahan itu di depan selepas lima minit permainan bermula apabila menolak bola masuk hantaran Vinicius Jr.

Real menguasai perlawanan tetapi terlepas beberapa peluang membolehkan Sevilla bangkit dengan gol penyamaan pada minit ke-54 menerusi percubaan jarak dekat Erik Lamela.

Bagaimanapun, Vinicius Jr kembali menjadi nadi kemenangan apabila dia yang melarikan bola dari kawasan tengah menghantar kepada Lucas Vazquez yang menjaringkan gol menerusi rembatan dalam kotak penalti pada minit ke-79.

Valverde mengesahkan tiga mata milik Real dua minit kemudian menerusi rembatan cantik di luar kotak penalti.

Real mendahului carta liga dengan 31 mata, enam mata mengatasi pasukan di tangga kedua Barcelona yang akan menerima kunjungan Athletic Bilbao hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 8:43 AM