BALE (kiri) buka tirai jaringan ketika Galacticos belasah Legia 5-1.   FOTO AFP
BALE (kiri) buka tirai jaringan ketika Galacticos belasah Legia 5-1. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Gareth Bale menjaringkan gol Eropah pertamanya dalam tempoh hampir dua tahun ketika membantu juara bertahan Real Madrid memberi petanda bahawa mereka sedia untuk bergelar pendahulu Kumpulan F Liga Juara-Juara selepas membelasah Legia Warsaw 5-1, pagi semalam.

Bale memberikan pendahuluan buat tuan rumah pada minit ke-16 menerusi rembatan lencong kaki kiri dan gol sendiri pemain Legia Tomasz Jodlowiec menggandakan kelebihan Real tidak lama kemudian.

Miroslav Radovic merapatkan jurang buat kelab Poland itu selepas menyempurnakan penalti tetapi Marco Asensio menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-37 menerusi rembatan rendah pada penampilan pertamanya di Liga Juara-Juara.

Pemain gantian Lucas Vazquez menghasilkan gol keempat pada minit ke-68 dan bekas penyerang Juventus Alvaro Morata melengkapkan kemenangan selepas menerima hantaran Cristiano Ronaldo pada minit ke-84.

Real kini di tangga kedua Kumpulan F, mengumpul tujuh mata - jumlah yang sama dengan Borussia Dortmund. Kedua-dua pasukan bakal layak ke kelompok 16 pasukan terakhir jika skuad kendalian Zinedine Zidane itu menang di Legia sambil kelab Jerman terbabit mengatasi Sporting Lisbon, 2 November nanti.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 6:39 AM