MESSI (kanan) ledak gol penyamaan Barcelona. - Foto REUTERS
MESSI (kanan) ledak gol penyamaan Barcelona. - Foto REUTERS
AFP

SEVILLE: Lionel Messi memastikan rekod tanpa kalah Barcelona berjaya dipertahankan ketika pendahulu La Liga itu meledak dua gol sepanjang tiga minit terakhir untuk mencipta keputusan seri 2-2 di Sevilla.

Messi masuk sebagai pemain gantian selepas pasukannya ketinggalan dua gol di Ramon Sanchez Pizjuan dan Luis Suarez merapatkan kedudukan pada minit ke-88 sebelum bintang Argentina berkenaan meledak gol penyamaan seminit kemudian.

Barcelona masih belum tewas sejak 13 bulan lalu tetapi jaringan Franco Vazquez dan Luis Muriel dilihat mampu menghadirkan kemenangan yang dicari-cari Sevilla.

Tetapi Messi tampil menafikan kejayaan Sevilla menerusi rembatan ke penjuru gawang tuan rumah dan jaringan itu disambut meriah seluruh warga Barcelona yang menyaksikan perlawanan.

“Jika anda mempunyai Messi dan dia tidak bermain, anda cukup rugi dan hari ini dia membuktikan mengapa dia sangat berharga,” kata jurulatih, Ernesto Valverde.

“Dia seorang pemain yang bahaya setiap kali memegang bola.”

Barcelona kini mengharungi 37 perlawanan liga tanpa kalah sejak tewas di tangan Malaga, April tahun lalu dan hanya ketinggalan satu perlawanan lagi untuk menyamai rekod yang dilakar Real Sociedad pada 1980.

Messi diletakkan di bangku simpanan atas masalah hamstring sambil Valverde turut memikirkan aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Roma, Rabu ini. Valverde mahu Messi sedia untuk bermain di Camp Nou.

“Saya mengambil langkah berjaga-jaga tetapi pada pandangan saya, dia boleh bermain Rabu ini,” kata Valverde.

“Kami akan lihat keadaannya selepas perlawanan ini. Tetapi saya yakin dia tidak apa-apa.”

Jaringan Messi tetap penting walaupun keputusan seri itu bermakna Atletico Madrid berpeluang merapatkan jurang perbezaan mata jika menewaskan Deportivo La Coruna hari ini.

“Kami tidak boleh mengatakan bahawa kami sudah juara,” kata Valverde. “Walaupun kami berhak untuk merayakan kejayaan kami setakat ini. Kami sedar dan yakin dengan semangat juang pemain kami serta keputusan seri hari ini juga sangat penting buat kami.”

Sementara itu, Sevilla masih ketinggalan 13 mata di belakang Barca dan bermain lebih satu perlawanan berbanding Valencia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 7:54 AM