MATTHAEUS bersama jersi Maradona yang dipakai pada final Piala Dunia 1986. FOTO Agensi
MATTHAEUS bersama jersi Maradona yang dipakai pada final Piala Dunia 1986. FOTO Agensi
Reuters

Buenos Aires: Jersi dipakai Diego Maradona ketika membantu Argentina menewaskan Jerman untuk menjulang Piala Dunia di Mexico City 36 tahun lalu, akhirnya kembali ke negara asal.

Legenda Jerman, Lothar Matthaeus yang bertukar jersi dengan Maradona memberikannya kepada kedutaan Argentina di Madrid pada Ogos lalu dan kemudiannya diserahkan kepada persatuan bola sepak negara itu (AFA) oleh pengumpul jersi terkenal Marcelo Ordas semalam.

"Saya berterima kasih kepada Marcelo yang membawa kepada kami harta bernilai ini. Ia penting kepada bola sepak Argentina. Jersi ini membolehkan kami berpelukan sesama sendiri ketika menang di Mexico," kata Presiden AFA, Claudio Tapia dalam satu kenyataan.

"Nilainya sangat bermakna kepada negara kami dan sejarah kami."

Maradona membantu Jorge Burruchaga meledak gol kemenangan pada final 1986 di Stadium Azteca ketika Argentina menang 3-2 untuk trofi Piala Dunia kedua mereka.

Jersi 'Tangan Tuhan' yang dipakai Maradona ketika menjaringkan dua gol antara terhebat dalam sejarah untuk menewaskan England pada suku akhir Piala Dunia 1986 terjual dengan harga rekod 7.14 juta pound (RM37.80 juta) dalam satu lelongan pada Mei lalu.

Jersi itu dipinjamkan ke Muzium Sukan di Qatar yang akan menjadi penganjur Piala Dunia tahun ini yang bermula 20 November.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 10:40 AM