AFP

New York: Jersi yang dipakai oleh legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona semasa menjaringkan dua gol menentang England dalam Piala Dunia 1986, termasuk gol terkenal 'Tangan Tuhan' dilelong pada harga AS$9.3 juta (RM40.4 juta), satu rekod untuk mana-mana barangan bersejarah sukan.

Tujuh pembida bersaing untuk jersi itu dalam lelongan yang bermula 20 April dan berakhir semalam, kata syarikat Sotheby tanpa mendedahkan nama pembeli.

"Jersi bersejarah ini mengingatkan mengenai detik penting bukan sahaja dalam sejarah sukan, tetapi dalam sejarah abad ke-20.

"Ia boleh dikatakan jersi bola sepak yang paling diidamkan pernah dilelong. Oleh itu wajarlah ia kini memegang rekod lelongan tertinggi untuk mana-mana item seumpamanya," kata ketua pakaian jalanan dan koleksi moden Sotheby, Brahm Wachter dalam satu kenyataan selepas jualan itu.

Jersi itu dimiliki oleh pemain tengah England, Steve Hodge, yang menukar jersinya dengan Maradona selepas England tewas 1-2.

Hodge sejak 20 tahun lalu meminjamkan jersi itu untuk dipamerkan kepada umum di Muzium Bola Sepak Kebangsaan di Manchester.

Perlawanan suku akhir itu cukup diingati selepas Maradona meledak dua gol hebat di Stadium Aztec dekat Mexico.

Gol pertama Maradona dikatakan dijaringkan dengan bantuan 'sedikit kepala dan tangan Tuhan' menewaskan penjaga gol England, Peter Shilton.

KAKITANGAN Sotheby memegang jersi Maradona. FOTO AFP
KAKITANGAN Sotheby memegang jersi Maradona. FOTO AFP

Tidak lama selepas itu, Maradona menewaskan lima pemain pertahanan England sebelum menewaskan Shilton dan gol itu dinobatkan selaku 'gol terbaik sepanjang zaman' dalam undian dilakukan oleh Fifa pada 2002.

Argentina memenangi Piala Dunia ketika itu dan Maradona, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2020, dijulang sebagai wira di negaranya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 8:37 AM