EFE

Buenos Aires: Tepat 35 tahun selepas Diego Maradona menjaringkan 'gol abad ini' ketika menentang England pada aksi suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico, masyarakat Argentina mengulangi detik itu semalam sebagai penghargaan sumbangan legenda bola sepak yang meninggal dunia pada November lalu.

Usaha yang diperkenalkan oleh Persatuan Bolasepak Argentina (AFP) membabitkan sorakan gol pada 4.09 petang waktu tempatan di Argentina, tepat 35 tahun selepas Maradona menjaringkan gol kedua ketika Argentina menewaskan England 2-1.

Beberapa personaliti dan institusi turut menyertai inisiatif itu.

"Esok menandakan 35 tahun bagi antara gol tercantik dalam sejarah! Inisiatif yang sangat bagus dilakukan dengan kerjasama yang pasti saya sertai dan menjemput anda! Mari kita semua menjerit dan melaungkannya!" kata Dalma Maradona, anak perempuan kepada bekas pemain bola sepak itu di Twitter peribadinya pada Isnin lalu.

Di beberapa daerah di negara itu, masyarakat Argentina mendengar ulasan mengenai gol berkenaan oleh wartawan Uruguay, Víctor Hugo Morales dan menjerit detik berkenaan dari ruang balkoni, tingkap dan kediaman masing-masing.

"Penyertaan mereka yang terbabit sangat menakjubkan. Menantikan perlawanan, menantikan waktu petang untuk memberikan Argentina kepuasan hebat dalam sukan dan antara yang terbaik," menurut wartawan menerusi program Radio AM 750.

"Diego sudah tiada. Diego tiada di sini untuk pertama kalinya dan ia menjadikan 22 Jun lebih istimewa. Malah kami menjadikannya sukar dilupakan. Menjadikan suasana gol yang berusia 35 tahun lalu itu seperti dihidupkan kembali." tambahnya.

Lanjutan itu, Hari Memperingati Pemain Bola Sepak Argentina disambut buat pertama kali pada 22 Jun, serentak dengan ulang tahun jaringan itu.

PENDUDUK Argentina menyaksikan video gol kemenangan dijaringkan Maradona pada perlawanan menentang England ketika Piala Dunia Mexico 1986. Orang ramai meraikan ulang tahun ke-35 kemenangan itu di perkarangan stadium Diego Armando Maradona di Buenos Aires pada 22 Jun lalu. FOTO AFP
PENDUDUK Argentina menyaksikan video gol kemenangan dijaringkan Maradona pada perlawanan menentang England ketika Piala Dunia Mexico 1986. Orang ramai meraikan ulang tahun ke-35 kemenangan itu di perkarangan stadium Diego Armando Maradona di Buenos Aires pada 22 Jun lalu. FOTO AFP

Sebelum ini ia disambut pada 14 Mei bagi mengingati jaringan yang dihasilkan oleh Ernesto Grillo juga berdepan pasukan Inggeris pada 1953.

Usaha untuk mengubah tarikh berkenaan mendapat kebenaran pada Ogos 2020, yang diperkenalkan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Argentina (FAA) dan mendapat sokongan AFA.

Pada 22 Jun 1986 Argentina menewaskan England 2-1 dengan dua gol dijaringkan oleh Maradona.

Gol pertama dikenali 'gol tangan tuhan' dan kedua 'gol abad ini' dan dipilih antara gol terbaik dalam sejarah Piala Dunia dalam ruang yang dikendalikan oleh FIFA.

Selepas perlawanan itu Argentina menjadi juara dunia, menewaskan Belgium, 2-0 pada separuh akhir dan Jerman Barat, 3-2 pada final.

Maradona meninggal dunia pada 25 November 2020 pada usia 60 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:30 PM