PERTAHANAN Bayern, Lucas Hernandez (kiri) cuba dihalang pemain Barca. FOTO AFP
PERTAHANAN Bayern, Lucas Hernandez (kiri) cuba dihalang pemain Barca. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Bayern Munich memberikan petanda awal kejatuhan Barcelona apabila melakar kemenangan 3-0 ke atas pasukan itu dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi dengan Robert Lewandowski meledak dua gol di Camp Nou.

Tanpa kelibat Lionel Messi buat kali pertama di pentas Eropah sejak 2003, Barcelona jelas bukan tandingan buat Bayern yang berpeluang menjaringkan lebih banyak gol sebelum menamatkan aksi dengan tiga jaringan.

Thomas Mueller meledak gol pertama buat Bayern dalam perlawanan itu pada minit ke-34 sebelum Lewandowski menambah luka Barcelona menerusi dua gol yang dijaringkannya minit ke-56 dan 85.

Mueller kini sudah merekodkan tujuh gol dalam enam penampilan bertemu The Catalan manakala Lewandowski meletakkan namanya sebagai penjaring dalam 18 perlawanan berturut-turut.

Kekalahan menyaksikan jurulatih Barcelona, Ronald Koeman kini dalam kedudukan tidak selamat dan formasi 5-3-2 yang diterapkannya turut dikritik penyokong setia The Catalan yang menganggap ia bertentangan dengan tradisi kelab itu.

Bagaimanapun, pengendali Bayern, Julian Nagelsmann berkata, pasukannya sepatutnya beraksi lebih baik walaupun berjaya menumpaskan Barca.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:45 PM