DIAZ ketika menerima rawatan. FOTO Reuters
DIAZ ketika menerima rawatan. FOTO Reuters
AFP

London: Penyerang Liverpool, Luis Diaz bakal diketepikan sehingga selepas Piala Dunia kerana kecederaan lutut.

Diaz mengalami kecederaan itu pada separuh masa pertama ketika Liverpool tewas 2-3 di Arsenal dalam aksi Liga Perdana, Ahad lalu.

Bintang Colombia berusia 25 tahun itu meninggalkan Stadium Emirates dengan bertongkat dan memakai pendakap di lututnya.

Imbasan yang dilakukan mendapati Diaz tidak memerlukan pembedahan, tetapi dilaporkan kecederaan itu akan menghalangnya beraksi sehingga selepas Piala Dunia, yang bermula pada 20 November.

Diaz akan terlepas sekurang-kurangnya 10 perlawanan untuk pasukan bimbingan Jurgen Klopp yang sedang bergelut dan kini ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Arsenal.

Ia satu lagi tamparan buat Liverpool kerana Diaz antara tonggak utama mereka sejak menyertai kelab itu dari Porto pada Januari.

Dia pastinya berharap untuk kembali beraksi apabila Liga Perdana bersambung pada Disember iaitu selepas Piala Dunia.

The Reds sudah pun mengalami pelbagai masalah kecederaan, dengan Trent Alexander-Arnold menunggu keputusan ujian susulan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika menentang Arsenal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 6:53 AM