AKSI Diaz (kiri) ketika bersama Porto. FOTO EPA
AKSI Diaz (kiri) ketika bersama Porto. FOTO EPA
AFP

Liverpool: Liverpool dilaporkan akan mengatasi Tottenham dalam usaha mendapatkan pemain sayap Colombia, Luis Diaz dengan nilai perpindahan yang boleh mencecah sehingga £50 juta (RM280.6 juta).

Sky Sports melaporkan Liverpool sudah menghantar wakilnya ke Argentina di mana Diaz menggalas tugas penting pada kempen kelayakan Piala Dunia minggu ini, dengan harapan untuk melengkapkan prosedur perubatannya.

Diaz dikatakan menjadi sasaran utama pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pada jendela perpindahan pemain tetapi minat yang tinggi daripada pasukan lain terutama Tottenham, memaksa Reds bertindak lebih awal mendapatkan pemain itu.

Yuran perpindahan £37.5 juta (RM210.4 juta) sudah dipersetujui dengan maksimum tambahan £12.5 juta (RM70.1 juta) lagi jika pemain berusia 25 tahun itu cemerlang di Anfield.

Ketibaan Diaz akan menimbulkan lebih tanda tanya mengenai masa depan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Tidak ada jalan penyelesaian untuk rundingan mengenai lanjutan kontrak penyerang Mesir itu.

Kontrak Salah serta rakan sepasukan di Liverpool, Sadio Mane dan Roberto Firmino akan berakhir pada musim panas 2023 di mana kesemua mereka akan berusia 31 tahun ketika itu.

Diaz akan memberi suntikan baharu kepada barisan serangan Liverpool dan tampil dengan reputasi hebat selepas menjaringkan 16 gol dalam 28 perlawanan untuk Porto musim ini.

Dia juga muncul penjaring terbanyak bersama-sama Lionel Messi pada Copa America tahun lalu dengan empat gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 7:59 AM