LUIS  Manuel Diaz (tengah) bersama rombongan yang mengiringinya tiba di Lapangan Terbang Alfonso Lopez di Valledupar, Colombia.
LUIS Manuel Diaz (tengah) bersama rombongan yang mengiringinya tiba di Lapangan Terbang Alfonso Lopez di Valledupar, Colombia.
AFP

Valledupar, Colombia: Kumpulan gerila ELN membebaskan bapa bintang Liverpool, Luis Diaz malam tadi sekali gus menamatkan tempoh 12 hari penculikan yang diraikan dengan gembira di kampung halamannya.

Selepas beberapa hari berunding, pemberontak melepaskan Luis Manuel Diaz kepada pekerja sukarela di lokasi rahsia di kawan pergunungan Serrania del Perija yang bersempadan dengan Venezuela.

Diaz dan penyelamatnya menaiki helikopter ke bandar timur laut Valledupar, 90 kilometer dari kampung halamannya di Barrancas, tempat dia diculik pada 28 Oktober.

Sejurus turun dari helikopter, Diaz berjalan perlahan dan melambai ke arah wartawan.

"Kemenangan untuk kebebasan dan keamanan," kata Presiden Gustavo Petro di laman X.

Kakak Diaz, Aracelys Diaz memberitahu wartawan, keluarga mereka gembira namun tetap bimbang dengan keadaannya.

"Dia tidak seperti yang kami mahukan tetapi dia nampak baik dan masih hidup," katanya.

Saudara mara pemain Liverpool itu dan bapanya di Barrancas berkumpul sebaik mengetahui berita pembebasan Diaz dan meraikannya dengan gembira sambil berlinang air mata.

Liverpool dalam laman X mengalu-alukan pembebasan itu: "Kami gembira dengan berita bapa @LuisFDiaz19 kembali dengan selamat dan kami berterima kasih kepada semua yang terlibat membantu pembebasannya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 8:39 AM